Rabu, 22 Julai 2009

Dapur Impiana / Dapur Pilihan Bulan Ini


Realisasikan Dapur Mengikut Cita Rasa Peribadi

Kediaman banglo yang terletak di Seremban ini memberi seribu pengertian buat pasangan Norizan Osman dan Zainal Othman kerana ia dibina mengikut cita rasa peribadi mereka. Melihat ke ruang dapur pemilik, ternyata ia dihias begitu teliti dan tersendiri. Gandingan rona coklat dan krim pada kabinet memberi impak yang mengagumkan dan menepati ciri-ciri dapur berkonsep Tradisional Inggeris.



Pengalaman dan idea yang dikutip semasa bercuti digabungkan untuk membina kediaman yang ada kini. Bagi merealisasikan impian itu, pemilik bergabung idea dan pendapat dari arkitek berpengalaman yang kebetulan merupakan rakan suami pemilik.

“Saya memang berhasrat untuk menerapkan elemen Tradisional Inggeris pada ruang dapur kering. Suami yang juga minat dalam hiasan dalaman banyak menentukan apa yang terbaik untuk kediaman baru kami. Kami memilih tinggal di Seremban kerana saya sendiri berasal dari Port Dickson.

Dahulu masa di kediaman lama saya hanya mempunyai dapur basah. Segalanya dilakukan di satu tempat dan ruangnya agak terhad. Agak lama juga kami menetap di situ, selepas 10 tahun barulah kami berpindah ke kediaman sekarang. Untuk kediaman baru ini saya sudah memikirkan untuk membina ruang dapur basah dan kering secara berasingan untuk memudahkan dan melicinkan kerja-kerja di dapur,” ujar Norizan memulakan bicara.



SUSUN ATUR YANG KEMAS

Dalam menghias ruang dapur, Norizan amat mementingkan kekemasan kerana berpendapat mudah untuk mencari barang dan sebagainya. “ Saya akan pastikan ruang dapur sentiasa dalam keadaan kemas dan teratur. Bagi menjadikan ruang dapur tampil berkarakter sedikit aksesori dihias mengikut kesesuaian konsep,” ujarnya. Norizan akui selain cetusan idea sendiri, dia banyak menjadikan majalah sebagai rujukan yang terbaik untuk mendapatkan inspirasi.



Ruang dapur yang dibina tidak mengalami sebarang proses ubahsuai kerana ia merupakan idea asal sebelum dibina. Dia kini berpuas hati dengan ruang dapur kerana menepati cita rasa. “Kami memantau setiap proses pembinaan dapur dan semua material yang digunakan dibeli sendiri dan kami puas hati dapat membuatnya sendiri tanpa mengharapkan kontraktor semata-mata. Ruang dapur kering berbentuk L ini terbahagi kepada komposisi kabinet dasar dan kabinet gantung.



Reka bentuk kabinet menepati konsep tradisional Inggeris dengan mengaplikasikan pelmet sebagai pelengkap reka bentuk ini. Padanan rona coklat dan krim menonjolkan karakter dapur berkonsep Tradisional Inggeris. Bagi melengkapi gaya di ruang dapur kering, dapur tungku jenama Rinnai dan hud Eerogaz jadi pilihan. Pemilik juga memilih singki dari granit binaan teguh dan tahan lasak. Singki jenis ini direka dengan sifat keteguhan di mana ia tahan calar dan kalis serpihan.

Penggunaan paduan lampu putih dan lampu kuning memberi mood berbeza di ruang dapur kering. Aplikasi bidai Roman melengkapi gaya dapur pemilik yang berkonsep tradisional Inggeris.

Sepenuhnya dalam Dapur Impiana Julai-Sept ini. Dapatkan dipasaran sekarang.

laman impian


Terima Kasih dan Teruskan Sokongan Kepada Blog Kami...